Friday 17 April 2015

Kuasa yakin dan doa



Berkecai. Laksana gelas dipegang tangan yang terhempas jatuh ke lantai. Begitulah hati ini.
Namun, aku bersyukur. Saat aku rasa aku hampir terjatuh, saat aku rasa inilah ujian terbesar bagiku, Allah datangkan aku semangat-semangat yang padu lagi mulia. Allah datangkan sangkaan-sangkaan yang baik.
Sabar. Tenang. Biar mungkin lukanya parah. Maha Benarlah Tuhan yang memberikan ganjaran buat mereka yang bersabar.

Alhamdulillah atas nikmat iman. Kalau tanpa iman, saat itu, mungkin sahaja perkara yang di luar jangkaku bisa terjadi. Meski dosa bertimbun tinggi, Dia tetap berikan kekuatan. Terima kasih ya Rabb.

Saat ku diberitahu. Aku keliru. Apakah seharusnya ku gembira atau berduka atau campuran suka dan duka tapi yang penting terluka. Aku rasa, berakhirlahlah segalanya di situ. Aku hentikan segala harapan dan hasratku. Aku cuba menghindari.

Kuat? Mungkin sahaja kuat itu hanyalah pilihan ku ketika itu. Punah rasa segala impian. Namun aku percaya, keterlewatan ku ini juga adalah di bawah ketentuannya. Aku percaya pada hikmahNya.

Sudah ku rancang awalnya. Namun, lidah ini kelu dan belum bisa lagi bergerak. Bukan tidak berani tetapi aku yakin ada waktu yang lebih baik. Apapun, yang berlalu tetap berlalu.
Maha PenyayangNya Yang Maha Esa. Saat ku berada di kejauhan. Saat ku berada jauh dari pelukan ibu dan abah. Saat ku hampir tersungkur. Dia bawaku terbang menemui mereka. Merasakan kasih sayang yang hakiki.

Ya Rabb. Sungguh ku tak layak. Sungguh banyak dosaku. Namun Engkau memberi rahmat dan belasMu padaku yang hina ini.

Aku bersyukur, aku dikelilingi insan-insan yang menghargai diri ini. Insan-insan yang memahami situasi ku ini. Insan-insan yang memberi semangat untukku merangkak semula biar meski kaki ini sudah tak terdaya.

Ya Rabb, kau berkatilah insan-insan yang menghulurkan tangan mereka saat ku memerlukan. Kau hulurkanlah tanganMu saat mereka memerlukannya.

Hari berlalu. Aku sudah bisa merangkak. Kerap kali juga berjumpaMu. Kerap kali juga bersamaMu. Menitiskan airmata. Meluahkan segala hasrat, impian dan harapanku meski ku tahu Engkau Maha Mengetahui. Engkau menyapaku dengan penuh rahmat. Dalam dhuha, dalam lena insan kita berjumpa. Ku serahkan segalanya padaMu. Aku redha ketentuanMu. Aku pasrah.

Kerana amanah dan tugasan, aku terpaksa bertentang mata. Bukan kerana diri ini sudah kuat tapi kerana ku harapkan itulah kali terakhir pandangan berbalas.

Kesalku kerna saat berpandangan, aku terjatuh. Kaki yang sudah mula berjalan hampir lumpuh.
Aku cuba menghormati. Aku cuba berdiam. Namun aku kalah. Aku tergerak. Aku bercerita dan didengari.

Bukan mudah.

Hari berlalu. Seakan pantas masa berlalu sepantas doa yang mungkin hampir dimakbulkan. Aku sendiri tidak percaya akan langkahku. Namun aku pasti, ia dalam susunanNya.

Tuhan pulangkan senyumku. Tuhan hilangkan resahku. Tuhan datangkan semula mentari ceria.

Aku sedar. Dia hanya ingin bergurau. Mungkin kerana kealpaan dan kecuaianku. Mungkin kerana aku terlupakanNya. Lantas, Dia mahu melihatku meminta-minta padaNya. GurauanMu ya Rabb. :")

Terima kasih ya Rabb. Moga nikmat yang Engkau hadirkan semula ini berkekalan menuju jalan redhaMu hingga ke Firdaus nanti. Tunjukkanlah aku laluanku. Suluhkanlah cahaya padanya agar tidak aku tersasar dari halaku.

Insan-insan yang aku muliakan lagi kasihi, hanya doa dapat ku titipkan. Moga di saat dukamu, saat kau perlukan seseorang disisimu, biar mungkin bukan aku yang menenangkanmu ku pasti Dia akan bersamamu memelukmu.

Terima kasih ya Allah.

Terima kasih ibu dan abah.
Terima kasih Habib Hassan dan Cik Ahmad.
Terima kasih Kak Mustafiyah, Muzhaffar Khalis, Syafiq dan Khairuddin Azhar.
Terima kasih Hanisah dan Syaheer.
Jazaakumullah.